Jumaat, 25 Mac 2011

Syariah mesti dipertahankan

MEMPERTAHAN KEMULIAAN SYARIAH ISLAM

Antara tujuan utama sistem syariah dan perundangan Islam digubalkan adalah untuk memelihara lima perkara yang merupakan satu kemestian di dalam kehidupan mereka. Prinsip yang dikenali sebagai al-kulliyat al-khamsah ini adalah untuk memelihara agama, akal, jiwa, keturunan dan harta benda.
Perundangan syariah adalah suatu formula yang telah disediakan oleh Allah SWT agar diambil dan digunapakai oleh manusia di dunia. Islam dan umatnya akan tersisih sekiranya mereka cuba menolak sistem perundangan Islam ini. Apalagi jika umat Islam sendiri yang menolak kemuliaan syariah Islam yang ditetapkan ini, pasti mereka akan dihinakan oleh Allah SWT.
Tidakkah menjadi suatu perkara yang menghairankan apabila Islam dihina oleh penganutnya sendiri? Tidakkah kita pernah membaca dan mendengar firman Allah SWT:
Maksudnya :
“Apakah hukum (perundangan) jahiliyyah itu yang kamu harap-harapkan? Dan siapakah pula yang lebih baik hukumannya selain daripada Allah SWT bagi kaum yang meyakini”.
Marilah kita berusaha untuk menerangkan kepada masyarakat betapa penghayatan kehidupan Islam itu amat mulia dan perlu dalam menjamin keamanan sejagat. Kita perlu mencari suatu medium yang terbaik untuk menyampaikan kemuliaan sebenar syariah Islam. Sabda Rasulullah SAW dalam menceritakan penyempurnaan khatamul anbiya’ :
Maksudnya :
“Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya, orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini dan mereka berkata : “Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini ia akan lebih cantik, akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi”.

1 ulasan:

  1. ramai manusia hari ini sudah gagal menghayati hakikat kehidupan sebenar. ayuh para muslimin dan muslimat teruskan perjuangan agar syariat allah dapat laksanakan..takbir

    BalasPadam